Wednesday, November 5, 2014



YAYASAN EMKAY





Yayasan EMKAY telah ditubuhkan pada 12 Januari 2001 oleh pengasasnya, YBhg Tan Sri Datuk Haji Mustapha Kamal Haji Abu Bakar dan isteri, YBhg Puan Sri Datin Hajah Wan Nong  Wan Ibrahim sebagai satu wadah untuk melaksanakan kegiatan amal dengan hasrat membantu mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik terutama mereka yang berada diluar arus pembangunan. Kini YBhg Tan Sri MK adalah merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan EMKAY dan Puan Sri Wan Nong sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan EMKAY.
 Program bantuan yang dilaksanakan terbahagi kepada 6 kategori utama iaitu kesihatan, pendidikan, keagamaan, sukan, bantuan pembangunan kemasyarakatan dan ehsan dan kepada usaha-usaha ke arah peningkatan kesedaran terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar. Jumlah peruntukan kewangan bagi bagi pelaksanaan program di bawah Yayasan EMKAY sehingga ke hari ini secara keseluruhannya adalah sebanyak RM35.22 juta.
  

LATAR BELAKANG PENGASAS



Tan Sri Mustapha adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau telah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan Kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah sehingga dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah & Galian Selangor. Kemudian beliau beralih ke sektor swasta di mana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.
Pada peringkat kerjaya inilah beliau mula memperkukuhkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kecekapan yang diperlukan dalam pembangunan hartanah sehingga beliau mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk memulakan usaha perniagaan sendiri. Ini telah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada tahun 1983. Berbekalkan pengalaman sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tanah dan Galian serta pengalaman selama kira-kira 21 tahun dalam industri pembangunan hartanah, Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal dikenali sebagai seorang Pengerusi Eksekutif yang aktif dan praktikal, dalam menyelia dan menentukan sendiri hala tuju operasi Kumpulan dengan merangka wawasan serta matlamat, pada masa yang sama, mencurahkan pengetahuan luas yang beliau miliki dalam industri kepada kakitangannya.
Tan Sri juga banyak memberi sumbangan kepada industri hartanah tempatan dan antarabangsa. Antara lain, beliau adalah Pengarah South-South Corporation Berhad(MASSCORP) ahli jawatankuasa Eksekutif Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (MASSA) dan Penyelaras Negara bagi Afrika. Pada 15 Mac 2004, Tan Sri telah dianugerahkan dengan pengiktirafan “Professor Adjung” oleh Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Beliau juga menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.

Latar Belakang Perniagaan

            TAN Sri Mustapha Kamal Abu Bakar adalah Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2 Ogos 1978 dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 8 Jun 1992. Asalnya, MK Land Holdings Berhad dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang melibatkan diri dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan melalui kilang mereka di Melaka. Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Berhad dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings Berhad pada 27 Ogos 1999. Namun, pada bulan Jun 2003, MK Land Holdings Berhad menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674. Ini adalah kerana Tan Sri Mustapha bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.
Beliau berjaya membawa status MKland selaku syarikat pengurusan Hartanah yg berjaya membangunkan kawasan-kawasan yg dahulunya agak terpencil dan tidak mendapat perhatian kepada kawasan elit yg lengkap dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi seperti kawasan Damansara Perdana, Cyberjaya. MKland juga terlibat dalam industri perhotelan dan tempat peranginan seperti Bukit Merah Laketown resort dan Langkawi Lagoon. Beliau berani memulakan sesuatu yg baru dengan mengetengahkan cara hidup “e-lifestyle township” yg moden dan berteknologi tinggi di kawasan perumahan dibawah syarikat MKland. Bekas graduan Universiti Malaya ini berjaya meletakkan namanya didalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia membuktikan kejayaan beliau dalam bidang hartanah

Projek-projek besar MK Land Holdings Berhad
Di bawah kepimpinan Tan Sri Mustapha, MK Land Holdings Berhad melibatkan diri dalam banyak projek. projek perumahan Damansara Perdana dan Damansara Damai, kedua-duanya di Petaling Jaya. Projek itu, dengan lokasinya yang strategik, iaitu dalam Segi tiga Emas Petaling Jaya. Kawasan itu kini muncul sebagai pusat membeli belah, fesyen, makanan dan hiburan dengan pusat membeli belah seperti One Utama, IKEA, Tesco, The Curve dan Cathay Cineleisure.Selain itu, Taman Bunga Raya di kawasan Bukit Beruntung iaitu bernilai RM840 juta, projek perumahan Cyberia di Cyberjaya, projek Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak iaitu bernilai RM3 bilion dan Langkawi Lagoon.

Subsidiari dan Syarikat Bersekutu MK Land Holdings Berhad
1.      BML Management Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam perniagaan perkhidmatan penyelenggaraan harta.
2.      Bukit Merah Resort Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
3.      Dominant Star Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.
4.      Fairview Review Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
5.      Golden Precinct Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam penyewaan dan penyelenggaraan hartanah.
6.      MK Land Resources Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah dan pelaburan.
7.      MK Land Ventures Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.
8.      MK Development Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.
9.      Prominent Valley Berhad, subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi padang golf.
10.  Pujaan Pastik Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel.
11.  Segi Objective (M) Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
12.  Sumbangan Berkat Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam menguruskan hotel.
13.  Tema Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.
14.  Vibrant Leisure Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
15.  Zaman Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
16.  Markins International (HK) Ltd., syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad dengan 14 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengedaran bahan makanan.
17.  Melur Unggul Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah.

ANUGERAH
Tan Sri telah diberikan beberapa anugerah sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar yang beliau curahkan sepanjang tempoh kerjaya beliau yang cemerlang. Antaranya, Anugerah Usahawan Cemerlang Selangor pada tahun 1995 oleh Dewan Perniagaan Melayu Selangor; FIABCI Property Man of The Year Award 1997 serta Anugerah Personaliti Cemerlang Industri Pembangunan Tahun 2001 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.
Beliau juga telah menerima Anugerah Fellowship DPMMKL 2002 daripada D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Agong dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 2003 daripada Raja Muda Perak. Tan Sri juga telah dicalonkan untuk menerima Ernst & Young Entrepreneur Award 2002 dalam Kategori ‘Master Enterpreneur’. Tan Sri adalah bapa mertua kepada En Vernon Azhar Edmett bin Bryan Allen Edmett, seorang pengarah dalam Syarikat.

Monday, November 3, 2014


MENERAPKAN BUDAYA USAHAWAN DALAM MASYARAKAT

Pembentukan usahawan muslim memerlukan persekitaran ekonomi dan sosial yang kondusif.  Untuk mewujudkan persekitaran sosial yang baik, masyarakat Islam haruslah mempunyai kesedaran dan mengamalkan budaya keusahawanan dalam kehidupan seharian. Umat Islam bukan sahaja harus mengubah persepsi mereka terhadap bidang perniagaan tetapi perlu menghayati nilai-nilai yang wujud dalam keusahawanan itu sendiri. Nilai-nilai tersebut perlulah ada dalam setiap individu meskipun mereka tidak menjalankan sebarang jenis perniagaan. Konsep ini dikenali sebagai keusahawanan dalaman (intrapreneurship). Bagi mencapai  objektif ini, pelbagai usaha perlu diambil oleh pelbagai pihak dan perlu digembeling secara kolektif.  Antara inisiatif-inisiatif yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Pengukuhan melalui Institusi keluarga
Institusi keluarga merupakan permulaan pembentukan individu dan masyarakat. Melalui peranan ibu bapa, anak-anak  akan dibentuk mengikut acuan yang mereka kehendaki. Oleh yang demikian, kesedaran mengenai kepentingan keusahawan ini perlulah diwujudkan dalam diri ibu bapa terlebih dahulu. Memang tidak dinafikan bahawa, ramai ibu bapa dalam kalangan masyarakat Islam yang tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan. Ini disebabkan oleh  mereka tidak dapat menjadi role model kepada anak-anak mereka. Walau bagaimanapun mereka haruslah menggalakkan sebarang usaha anak-anak mencuba bidang ini dan tidak bertindak menghalang niat mereka. Mereka juga harus menyemai nilai-nilai keusahawanan seperti berani mengambil risiko, kreatif dan sabar sejak kecil lagi. Ini secara tidak langsung akan mengembangkan potensi diri mereka.

2. Meningkatkan ilmu pengetahuan
Pepatah melalui ada menyatakan “ kalau tak kenal maka tak cinta”. Pepatah tersebut membawa maksud bahawa, seseorang itu akan cenderung atau meminati sesuatu hanya apabila dia benar-benar memahami perkara tersebut. Begitu juga dengan bidang keusahawanan, pengetahuan yang mendalam amat perlu untuk memastikan seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi. Masalah tidak mempunyai pengetahuan yang cukup merupakan masalah yang agak membimbangkan dalam kalangan usahawan Muslim. Pengetahuan yang dangkal menyebabkan usahawan Muslim tidak dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Mereka tidak dapat mengurus dengan baik akibat tidak mempunyai pengetahuan pengurusan yang baik.
Oleh yang demikian, budaya menuntut ilmu ini perlu dihayati oleh semua pihak, terutamanya golongan  usahawan. Ini memastikan bahawa golongan usahawan muslim merupakan golongan yang disegani dalam bidang ilmu pengetahuan di samping mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi. Pendekatan pendidikan ini juga harus ditekankan oleh pihak-pihak berwajib dalam mendidik masyarakat. Kursus-kursus dan seminar secara formal mahupun tidak formal perlu diperbanyakkan bagi  memastikan budaya ini dapat dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat.

3. Contoh yang baik oleh usahawan
Peranan membudayakan masyarakat dengan keusahawanan perlulah ditunjangi oleh usahawan sendiri. Usahawan perlu menunjukkan contoh yang baik dan menjadi rolemodel kepada masyarakat sekeliling. Persepsi buruk terhadap mereka perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Usahawan perlu mencontohi para sahabat Rasul yang sentiasa menjadi penyokong kuat terhadap perkembangan Islam. Para usahawan muslim haruslah  beriltizam untuk sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam keusahawanan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. Sifat-sifat sabar, ikhlas, mesra dan sebagainya harus ditonjolkan dalam perniagaan di samping menawarkan produk-produk yang berkualiti. Di samping itu usahawan juga harus memenuhi obligasi mereka terhadap masyarakat dengan bersedekah, menderma dan menunaikan zakat.Usahawan juga perlu mendekatkan diri dengan masyarakat dan memainkan peranan yang lebih aktif.

4. Sokongan berterusan dari pihak kerajaan
Kerajaan haruslah  memainkan peranan yang penting dalam menerapkan budaya keusahawanan dalam masyarakat. Pelbagai usaha dan dasar telah dirangka bagi mencapai objektif tersebut. Melalui Dasar ekonomi Baru kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah dalam  meningkatkan pegangan orang Melayu dalam ekonomi. Selepas Dasar Ekonomi Baru, kerajaan tetap meneruskan usaha murni ini dengan mewujudkan Dasar Pembangunan Negara. Penyertaan masyarakat Melayu dalam bidang keusahawanan diberikan dorongan dan bimbingan padu dari pelbagai sudut. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai agensi untuk menyokong usaha-usaha ini. Antaranya adalah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, MARA, MARDI, PERNAS, MIDA dan banyak lagi badan-badan lain. Agensi dan badan-badan ini dapat membantu usahawan dari segi kewangan, pemasaran, kemahiran teknologi dan pelbagai aspek lain.
Melalui dasar-dasar tersebut kerajaan secara langsung dan tidak langsung telah cuba untuk menerapkan budaya keusahawanan kepada seluruh Masyarakat. Program yang dirangka oleh agensi dan kementerian terbabit bukan sahaja meliputi individu yang berkecimpung dalam perniagaan malah  meliputi pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kesedaran  dan motivasi perniagaan juga diberikan kepada golongan-golongan tertentu seperti ibu tunggal dan masyarakat di bawah kategori miskin. Program-program seperti ini sebenarnya memberikan gambaran kepada masyarakat betapa pentingnya keusahawanan dan perlunya mereka menghayati budaya dan nilai-nilai dalam keusahawanan tersebut.




BUDAYA KEUSAHAWANAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Budaya bermaksud kemajuan fikiran, akal budi (cara pemikiran, berkelakuan dan sebagainya). Ianya  juga ditafsirkan sebagai satu set sikap, tingkah laku, nilai-nilai dan tindakan yang dikongsi bersama oleh sekumpulan manusia, syarikat dan sebagainya. Keusahawanan pula merupakan kata terbitan usahawan yang merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan usahawan. Oleh yang demikian budaya keusahawanan bolehlah disimpulkan sebagai cara pemikiran, sikap, norma dan kelakuan yang dimiliki dan dipraktikkan oleh individu usahawan itu sendiri. Sebagaimana yang telah dinyatakan, Islam amat menyanjung bidang keusahawanan dan ianya memberikan pelbagai  keistimewaan khusus kepada usahawan. Bagi menyemai budaya keusahawanan ini, kita perlu mengenali dan mengetahui apakah ciri-ciri dan gelagat yang perlu ada dan harus diamalkan oleh setiap usahawan muslim. Antara ciri-ciritersebut adalah seperti berikut:

1. Mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan

Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ianya merupakan asas bagi pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah usahawan. Dalam bidang perniagaan, Islam mewajibkan setiap usahawan untuk berpegang teguh dengan nilai kebaikan dan menjauhi nilai-nilai keburukan. Oleh sebab itulah jaminan hanya diberikan kepada usahawan yang benar-benar jujur dan ikhlas sahaja. Terdapat banyak nilai-nilai kebaikan  yang perlu diamalkan oleh para usahawan. Kajian menunjukkan terdapat banyak nilai-nilai murni dan gelagat yang baik wujud dalam diri mereka. Nilai dan gelagat inilah yang menyebabkan mereka berjaya mengharungi pelbagai jenis rintangan dalam perniagaan mereka. Antara nilai dan gelagat yang wujud menurut beberapa kajian adalah seperti berani menanggung risiko, berdikari, mempunyai ciri-ciri kepimpinan, murah hati, optimis, kuasa, perihatin, keperluan pencapaian yang tinggi, berkeyakinan diri dan sebagainya.
Ciri-ciri, gelagat serta sikap-sikap tersebut boleh dikategorikan sebagai sikap yang positif atau terpuji (mahmudah). Malah Rasul sendiri sebagai peniaga yang berjaya telah menunjukkan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan seharian baginda. Baginda berjaya membuktikan bahawa dengan mengamalkan sifat-sifat yang baik, perniagaanmasih menguntungkan malah lebih baik berbanding peniaga yang tidak jujur.Keuntungan yang menjadi objektif baginda bukanlah semata-mata keuntungan kebendaan tetapi keredaan Allah adalah lebih utama.

a). Nilai kepimpinan dan pengurusan yang baik

Kepimpinan dan pengurusan yang baik merupakan nilai yang utama dalam budaya keusahawanan. Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan mampu mengurus perniagaan dengan baik dan teratur. Nilai-nilai ini seharusnya diamalkan dan dihayati oleh semua orang serta tidak hanya terhad kepada usahawan sahaja. Ini amat penting kerana setiap manusia mempunyai tanggungjawab tersendiri dan perlu mengurus tanggungjawabnya dengan baik dan teratur.
Nilai-nilai kepimpinan ini sebenarnya telah menjadi budaya umat Islam sejak dahulu lagi. Malah kepimpinan yang baik telah tersemai dalam kalangan kaum Quraisy sebelum kedatangan Islam lagi. Ini menjadikan Quraisy merupakan antara bangsa pilihan yang telah bertamadun sejak sekian lama. Rasulullah pula merupakan manusia pilihan dalam bangsa yang terbaik dalam zamannya. Ini terbukti apabila baginda telah dipilih untuk menjadi orang yang meletakkan Hajar Aswad kembali ketempatnya seterusnya menyelesaikan perbalahan yang berlaku. Pemilihan ini adalah atas dasar ketokohan dan kemuliaan peribadi Baginda di mata orang-orang Quraisy

b). Berani menghadapi risiko

Risiko merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan dengan bidang perniagaan dan keusahawanan. Tahap risiko akan menentukan kadar keuntungan yang akan diperolehi. Oleh yang demikian, usahawan perlulah bersedia dan berani untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam perniagaan yang dijalankan. Rasulullah dan sahabat telah menunjukkan contoh keberanian menghadapai sebarang risiko dalam menegakkan kalimah Allah. Mereka sanggup berperang dengan bilangan tentera yang jauh lebih sedikit berbanding kaum Musyrikin. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna umat Islam perlu berani secara membuta tuli. Keberanian haruslah disertai dengan strategi dan perancangan yang baik.

c). Amanah

Amanah juga merupakan nilai yang amat penting dalam keusahawanan. Ianya merupakan sifat mulia bagi nabi-nabi dan rasul-rasul. Dalam hal ini Rasulullah sendiri telah menunjukkan contoh terbaik sehingga digelar al-Amin. Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”        Al- Nisa’ (4): 58
Kisah sifat amanah Rasul dan ketokohannya dalam bidang keusahawanan ini tidak dapat disangkal lagi. Allah telah mendidik Nabi supaya bersifat amanah melalui kerjanya sebelum menjadi peniaga iaitu sebagai pengembala kambing. Sifat inilah yang menambat hati Khadijah sehingga sanggup membuat pelaburan yang besar dan memilih Rasulullah untuk menguruskan perniagaannya ke Syam. Sebagai balasan Rasulullah telah berjaya mendapat keuntungan yang paling besar berbanding peniagapeniaga yang pernah dilantik oleh Saidatina Khadijah sebelum ini.

d). Sabar

Ramai tokoh usahawan yang beberapa kali menghadapi kegagalan dan terpaksa membina semula perniagaan daripada awal. Tokoh-tokoh seperti Hendry Ford, Albert Kwok, Boon Siew dan ramai lagi merupakan usahawan yang telah menghadapi pelbagai jenis masalah dan cabaran pada awal pembabitan mereka dalam perniagaan. Walaubagaimanapun, atas daya usaha dan kesabaran yang tinggi mereka telah berjaya membina sebuah empayar perniagaan yang besar. Oleh yang demikian tahap kesabaran yang tinggi amat penting bagi memastikan usahawan tersebut berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan dalam perniagaan. Sifat sabar ini juga merupakan sifat para rasul dan nabi-nabi.
Sebagai manusia biasa, para usahawan dituntut untuk sentiasa memohon kepada Allah agar sentiasa diperteguhkan kesabaran dalam menghadapi pelbagai masalah. Sabar dalam Islam termasuklah sabar dalam melaksanakan perintah dan sabar dalammeninggalkan segala larangan Allah. Firman Allah yang bermaksud:
“ Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”. al-Baqarah(2): 153

e). Bersedekah

Konsep sedekah merupakan konsep yang meluas dan penting dalam ekonomi Islam. Sedekah bukan sahaja dibuat semata-mata untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah tetapi keutamaanya  adalah memberikan kestabilan ekonomi umat Islam. Usahawan haruslah menyedari obligasi mereka untuk bersedekah sebagaimanamaksud firman Allah:
“ Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)”  al-Zariyat (51): 19. Dalam hal ini para sahabat Rasul telah menunjukkan contoh yang baik di mana mereka sanggup menyumbangkan sebahagian besar keuntungan mereka ke jalan Allah. Abdul Rahman ‘Auf telah meninfaqkan barang dagangannya yang baru pulang dari Syam sebanyak 700 tunggangan penuh dengan barang dagangan. Selain itu beliaujuga telah menyumbang sebanyak seratus tunggangan penuh dengan muatan untuk para pejuang Islam di Madinah.

2). Konsep Ubudiyah

Islam sebagai agama yang syumul tidak memisahkan segala urusan perniagaan dengan nilai-nilai agama. Perniagaan bukan sahaja dianggap sebagai kerjaya tetapi juga dikira ibadat dalam Islam dan akan mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat. Usahawan muslim tidak seharusnya menjadikan untung material semata-mata sebagai objektif yang utama.  Objektif akhir haruslah difokuskan ke arah mencapai keredaan Allah. Sebagai khalifah yang mentadbir dan memakmurkan bumi Allah, manusia haruslah sentiasa menuruti segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Manusia juga  tidak mempunyai kuasa yang mutlak dalam semua hal, bahkan segala-galanya adalah dalam pengetahuan dan ketentuan Allah semata-mata. Inilah yang menjadikan banyak konsep yang berbeza antara perniagaan dalam Islam dan konvensional.  Kefahaman dan penghayatan konsep ubudiyah ini akan memberikan impak yang nyata dalam prestasi seseorang individu. Seseorang muslim yang menyedari hal ini akan bekerja bersungguh-sungguh dan mengamalkan budaya kerja cemerlang. Mereka akan mematuhi segala arahan dalam melaksanakan tanggungjawab dan menghindari perkara-perkara yang dilarang. Ini akan memudahkan organisasi mencapai objektifnya dengan cepat dan tepat.

3). Jaringan perniagaan yang kukuh

Apabila hijrah umat Islam berlaku, antara strategi utama Rasulullah adalah membina masjid dan seterusnya mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Strategi ini merupakan asas kepada pengukuhan dan kekuatan masyarakat Islam yang masih baru di Madinah sewaktu  itu. Ternyata strategi ini berjaya untuk membentuk ummah yang kuat dan berjaya mengalahkan musuh yang datang dari luar.  Peristiwa ini menunjukkan bahawa kesatuan dan semangat kekitaan amat penting dalam membentuk satu komuniti yang kukuh termasuk juga komuniti usahawan. Usahawan muslim seharusnya mempunyai jaringan keusahawanan yang kuat agar mereka dapat saling bantu-membantuuntuk  memperkuatkan  antara satu sama lain.

4). Tadbir urus korporat yang baik

Tadbir urus korporat merujuk kepada sistem di mana sesebuah syarikat telah  diurus dan dikawal selia dengan baik. Lembaga pengarah adalah bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat manakala pemegang saham berperanan untuk melantik pengarah-pengarah dan juruaudit serta memastikan struktur yang betul sentiasa berjalan dengan lancer. Dalam konsep tadbir urus ini, fokus akan diberikan kepada soal-soal berkenaan tanggungjawab, akauntabiliti, ketelusan, kesepakatan dan kepimpinan. Hal ini amat penting bagi memastikan setiap individu dalam sesebuah organisasi dapat menjalankan tugas masing-masing dan tidak menyalahgunakan kuasa yang ada demi kepentingan peribadi.
Islam juga telah menetapkan mekanisme pengawalan yang lengkap meliputi pengawalan luaran dan kendiri. Mekanisme kawalan luaran adalah persekitaran individu itu sendiri iaitu yang  meliputi rakan sekerja, organisasi dan masyarakat. Mekanisme ini wujud atas kesedaran bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab masingmasing dan akan dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya di akhirat nanti. Selain itu juga konsep amar makruf nahi munkar juga merupakan konsep yang mengarah kepada objektif berikut.

5). Kreatif dan inovatif

Kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea yang asli. Manakala inovatif adalah perihal memulakan sesuatu hasil yang baru. Sebagai individu yang sentiasa mengenal pasti peluang, nilai kreatif dan inovatif merupakan nilai yang amat penting bagi setiap individu usahawan. Sifat inovatif ini amat digalakkan oleh Islam memandangkan Allah menciptakan setiap sesuatu adalah untuk digunakan oleh manusia. Hal ini dinyatakan melalui ayat yang bermaksud:
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. al-Baqarah (2): 29

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah menciptakan segala yang ada di muka bumi ini untuk dimanfaatkan oleh manusia. Walau bagaimanapun manusia perlulah berfikir bagaimana untuk mengubah sumber asas kepada produk yang dapat memenuhi kehendak mereka. Oleh sebab itu mereka dikurniakan akal fikiran dan keistimewaan ini haruslah digunakan sebaik-baiknya untuk kemudahan semua pihak. 

FAKTOR DALAMAN DAN LUARAN DALAM PERNIGAAN

Persekitaran Perniagaan
Berdasarkan teori system, sesebuah organisasi perniagaan itu tidak dapat berdikari. Organisasi perniagaan dikelilingi oleh elemen-elemen persekitaran yang berinteraksi dan mempengaruhi pembuatan keputusan dan tingkah lakunya. Sebelum para peniaga merancang strategi perniagaan, mereka perlu mengenali, menganalisa dan memahami keadaan persekitaran perniagaan terlebih dahulu. Namun, persekitaran perniagaan boleh ditinjau dari dua perspektif iaitu persekitaran perniagaan dalaman dan persekitaran perniagaan luaran.

Persekitaran Mikro
Persekitaran mikro untuk pelaburan baru adalah juga merujuk kepada persekitaran industri. Persekitaran ini mempengaruhi aktiviti keusahawanan dan sukar untuk usahawan mempengaruhi elemen ini di dalam industri. Usahawan memerlukan perancangan dan melaksanakan strategi tertentu untuk mendapat kelebihan bersaing di dalam industri. Pengaruh terbesar industri adalah penguna, pesaing, pembekal, institusi kewangan, agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan.

a). Pengguna
Pengguna merupakan kumpulan sasaran utama dalam sesebuah perniagaan. Mereka mengunakan barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah industri. Pengguna boleh menjadi individu di dalam masyarakat seperti  suri rumah, pekerja, pelajar atau sekumpulan manusia. Pengguna dianggap  ‘raja’ di dalam sistem pasaran. Sesetengah produk digunakan oleh pengguna industri seperti pengedar, agen, pemborong dan peruncit. Kumpulan manusia seperti  ini mempengaruhi keputusan usahawan. Keputusan organisasi perniagaan terhadap jenis atau barangniaga yang hendak ditawarkan di pasaran dipengaruhi oleh kehendak dan citarasa pengguna.

b).  Pesaing
Usahawan yang ingin melakukan perniagaan baru hendaklah  menganalisis pesaing mereka di dalam industri. Pesaing adalah mereka yang berniaga untuk memenuhi kehendak pengguna yang sama atau mempunyai peluang untuk berkhidmat kepada pengguna tersebut. Mereka juga boleh mengenal pasti pengguna (untuk perniagaan sedia ada)  atau bakal pengguna (untuk perniagaan baru) dengan bertanya di mana mereka membeli produk atau perkhidmatan. Usahawan boleh mengenali mereka dengan melalui direktori perniagaan.  Analisis grid boleh digunakan sebagai alat untuk menganalisis dan penentu tahap persaingan  di dalam industri. Usahawan juga boleh mengenal pasti setiap aspek  kekuatan dan kelemahan pesaing mereka dengan alat ini serta dapat membantu mereka untuk  memulakan pelaburan baru.

c). Pembekal
Pembekal adalah kumpulan kedua yang mempengaruhi aktiviti keusahawanan. Mereka boleh menaikkan harga barangan atau perkhidmatan yang mereka jual dan mereka juga boleh mengurangkan kualiti produk dan perkhidmatan yang ada di pasaran. Pembekal  hendaklah sentiasa berinteraksi dengan organisasi perniagaan. Interaksi diantara pembekal dan organisasi perniagaan memberi pelbagai kesan kepada penetapan corak perjalanan,  operasi dan kemajuan sesebuah organisasi perniagaan. Hubungan baik dengan pembekal adalah perlu untuk menjamin perjalanan bagi operasi sesebuah organisasi perniagaan  agar tidak terganggu dan terus berkembang.

d).  Insitusi Kewangan
Insitusi kewangan merupakan punca luaran untuk membiayai sesebuah perniagaan baru atau bagi mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Pinjaman dari institusi  kewangan bukan sahaja sukar diperolehi untuk memulakan  perniagaan baru kerana ianya tidak mempunyai rekod semula ini tetapi terpaksa membayar kadar faedah yang mana akan membebankan perniagaan baru.  Oleh hal yang demikian, institusi kewangan mempunyai pengaruh secara langsung terhadap usahawan.

e).  Agensi Kerajaan
Kerajaan adalah pengaruh bagi aktiviti keusahawanan melalui pelaksanaan polisi. Contohnya Dasar Ekonomi Baru, Polisi Penswastaan dan Dasar Pertanian. Sesetengah polisi memberi kesan secara langsung kepada pelbagai jenis  aktiviti keusahawanan. Polisi dan peraturan yang dilaksanakan oleh kerajaan  mempunyai objektif dan tujuan tertentu. Kerajaan juga menyediakan sokongan kepada usahawan.

f). Organisasi Bukan Kerajaan
Persatuan Pengguna, Organisasi Politik, Kumpulan Agama, Persatuan Perniagaan, Kumpulan Pencinta Alam Sekitar dan sebagainya merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan yang mempengaruhi seseorang usahawan. Kumpulan ini mempengaruhi seseorang usahawan melalui kempen terhadap produk atau perkhidmatan dan dengan penyebaran maklumat mengenai sesuatu produk. Oleh itu, ianya mempengaruhi pengguna dan memberikan tekanan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap sesuatu isu dalam perniagaan.

Persekitaran Makro
Persekitaran makro merupakan satu persekitaran yang lebih luas yang memberi peluang dan ancaman kepada syarikat. Persekitaran makro juga mempengaruhi aktiviti perniagaan secara tidak langsung.
1. Demografi
Demografi adalah berkait rapat dengan saiz, lokasi, kepadatan, umur, jantina, kelas sosial dan lain-lain ciri kependudukan seperti bangsa, pekerjaan serta statistik lain berhubung populasi penduduk dalam sesebuah kawasan atau sesebuah Negara itu sendiri. Persekitaran demografi  sangat penting kerana ianya akan mempengaruhi pemasar dalam strategi pemasaran meliputi jumlah kuantiti produk yang akan dikeluarkan , produk yang sesuai dikeluarkan dan sebagainya. Contohnya di kawasan Lembah Klang populasi penduduk adalah ramai berbanding di Utara Malaysia sebab Lembah Klang merupakan kawasan tumpuan ramai yang kaya dengan pelbagai sumber ekonomi seperti perkilangan dan pertanian. Justeru itu dapatlah dikatakan bahawa di kawasan Lembah Klang populasinya adalah tinggi, golongan belia adalah ramai dan kuasa beli akan menjadi semakin besar.

2. Ekonomi
Faktor ekonomi boleh mempengaruhi kuasa beli dan corak perbelanjaan pengguna. Antara lain ialah perubahan di dalam pendapatan  iaitu apabila pendapat meningkat kuasa beli akan meningkat. Faktor ini juga melibatkan jumlah barang-barang dan perkihdmatan yang dihasilkan, diedarkan, dijual dan digunakan dalam sesuatu ekonomi. Selain itu juga ianya melibatkan transaksi pasaran,kerajaan,awam, dan transaksi bukan untung.Perubahan di dalam cara berbelanja, menurut Hukum Engel telah menyatakan bahawa apabila pendapatan penduduk meningkat, perbelanjaan untuk makanan akan menurun.Contohnya, di dalam kegawatan ekonomi penggunaan kad kredit yang meluas boleh menyumbang kepada penjanaan ekonomi kerana berlakunya peningkatan di dalam kadar berbelanja pengguna. Apabila berlakunya kemelesetan ekonomi  memberi kesan kepada aktiviti perniagaan iaitu hasil keluaran dan pendapatan Negara akan merosot dan mengakibatkan kebanyakan syarikat akan mengalami kerugian serta muflis.

3. Teknologi
Peningkatan dalam teknologi banyak mempengaruhi dunia pemasaran. Selain itu juga ianya berkait rapat dngan perkembangan produk baru, pemprosesan dan sebagainya. Perubahan teknologi telah menyebabkan lebih banyak peluang dan pasaran baru kepada pemasar. Ia turut menyumbangkan kepada peningkatan peruntukan belanjawan di dalam R & D. Kesan dari pembangunan teknologi ini akan meningkatkan keluaran, wujudnya produk-produk inovasi dan memberi kesan kepada aktiviti-aktiviti pemasaran. Contoh : penggunaan internet di dalam melaksanakan aktiviti promosi oleh sesebuah syarikat. Kesan daripada penggunaan teknologi yang canggih juga akan menyebabkan kepada persaingan antara syarikat perniagaan.

4. Politik
Organisasi perniagaan juga harus prihatin dan peka kepada persekitaran politik dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan di tempat ianya melakukan  operasi. Perniagaan tidak dapat dipisahakan daripada kuasa politik, namun ianya mungkin menyulitkan aktiviti-aktiviti organisasi perniagaan atau memberi peluang kepada organisasi perniagaan. Misalnya, melindungi dan mengembangkan industri kereta yang baru, kerajaan Malaysia sebagai pemegang kuasa politik mengenakan kadar cukai import yang tinggi terhadap kemasukan barangan seperti komponen dan alat ganti kereta dari negara luar. Tindakan kerajaan Malaysia ini akan memberi tekanan kepada pengimport barangan yang berkaitan. Pada masa yang sama, ia juga memberi kebaikan dan sokongan kepada peniaga tempatan.Selain itu, undang-undang dan peraturan yang digubalkan bertujuan menjamin etika perniagaan. Misalnya, undang-undang jualan langsung (Direct Sale) adalah bertujuan untuk memberi perlindungan kepada para pembeli dan pengguan terakhir. Persekitaran politik yang stabil dan undang-undang yang sempurna membolehkan oragnisasi perniagaan terus beroperasi dan berkembang.

5. Sosial dan Kebudayaan

Dalam dunia perniagaan, penilaian terhadap persekitaran sosial dan budaya tidak dapat diringankan kerana masyarakat yang menggunakan barangniaga dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh organisasi perniagaan mempunyai tahap sensitivity tersendiri. Setiap masyarakat seperti masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai nilai-nilai etika yang tersendiri mengikut agama dan bangsa.Dalam organisasi perniagaan perlu menghormati perbezaan nilai-nilai etika dalam kalangan masyarakat. Misalnya, makanan yang dikeluarkan khas untuk masyarakat beragama Islam di Malaysia diwajibkan mempamerkan logo “halal” daripada Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kesedaran tentang perbezaan, keinginan untuk mempelajari, mengetahui dan memahami perbezaan dan persamaan nilai-nilai etika yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dapat membantu organisasi perniagaan untuk maju dan mengembangkan perniagaannya keperingkat yang lebih meluas.

Sunday, November 2, 2014

USAHAWAN KEDUA: DATUK WAN MOHAMMAD SANI SALLEH





NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
USIA: 33 tahun
LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)
KISAH KEJAYAAN


PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.
Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.
Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.
Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.
Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.“Biasalah… dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.
“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.
“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.
Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya. Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.
Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?
“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya. Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta. Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.
Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan. Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar. “Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya. Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya. Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.


“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express. “Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya. Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.
“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. “Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

USAHAWAN PERTAMA: DATUK YUSOF TAIYOOB



BIODATA

Nama                    : Datuk Yusuf Taiyoob
Jawatan                : Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
Asal                      : Georgetown, Pulau Pinang
Umur                    : 54 tahun
Isteri                     : Datin Yusnita Ramli
Anak                    : Waseem (11), Safiya (8) dan Safina (5)
Adik-beradik        : Anak sulung daripada empat beradik
Jenis perniagaan  : Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan

Kisah Kejayaan Yusof Taiyoob
Usahawan Islam yang sangat sinonim dengan produk kurma ini bernama Datuk Yusuf Taiyoob, 47, yang memiliki empayar perniagaan sendiri bernama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd. Kesungguhan beliau untuk berjaya dalam bidang perniagaan sememangnya tidak dapat dinafikan. Zaman remaja beliau sudah bermandikan cabaran demi cabaran dalam dunia perniagaan. Bermula dengan penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas, yang diadun sendiri oleh beliau ketika berumur 19 tahun, penerimaan pada peringkat awal adalah sangat memberangsangkan. Sehinggalah pada satu ketika, beliau jatuh sakit (muntah darah akibat pendarahan dalaman yang serius) akibat tekanan yang dihadapi di sebabkan penjualan yang merudum teruk.
Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi, memberi kesan terhadap usahanya menjadi seorang usahawan berjaya. Namun, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan yang lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan. Lama-kelamaan, usahanya berhasil apabila perniagaannya berkembang maju dan produk keluarannya semakin popular termasuk di Singapura, Indonesia dan Thailand. Kini, beliau sudah pun memiliki lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’. Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.
Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit. “Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga. “Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah. Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini. Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.
Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka. “Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan. Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.
Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran. Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan. Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi. Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.
Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik. Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang. “Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.
Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei. Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan. Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan. “Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.
“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara. Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.
Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. “Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.