Monday, November 3, 2014


MENERAPKAN BUDAYA USAHAWAN DALAM MASYARAKAT

Pembentukan usahawan muslim memerlukan persekitaran ekonomi dan sosial yang kondusif.  Untuk mewujudkan persekitaran sosial yang baik, masyarakat Islam haruslah mempunyai kesedaran dan mengamalkan budaya keusahawanan dalam kehidupan seharian. Umat Islam bukan sahaja harus mengubah persepsi mereka terhadap bidang perniagaan tetapi perlu menghayati nilai-nilai yang wujud dalam keusahawanan itu sendiri. Nilai-nilai tersebut perlulah ada dalam setiap individu meskipun mereka tidak menjalankan sebarang jenis perniagaan. Konsep ini dikenali sebagai keusahawanan dalaman (intrapreneurship). Bagi mencapai  objektif ini, pelbagai usaha perlu diambil oleh pelbagai pihak dan perlu digembeling secara kolektif.  Antara inisiatif-inisiatif yang boleh diambil adalah seperti berikut:

1. Pengukuhan melalui Institusi keluarga
Institusi keluarga merupakan permulaan pembentukan individu dan masyarakat. Melalui peranan ibu bapa, anak-anak  akan dibentuk mengikut acuan yang mereka kehendaki. Oleh yang demikian, kesedaran mengenai kepentingan keusahawan ini perlulah diwujudkan dalam diri ibu bapa terlebih dahulu. Memang tidak dinafikan bahawa, ramai ibu bapa dalam kalangan masyarakat Islam yang tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan. Ini disebabkan oleh  mereka tidak dapat menjadi role model kepada anak-anak mereka. Walau bagaimanapun mereka haruslah menggalakkan sebarang usaha anak-anak mencuba bidang ini dan tidak bertindak menghalang niat mereka. Mereka juga harus menyemai nilai-nilai keusahawanan seperti berani mengambil risiko, kreatif dan sabar sejak kecil lagi. Ini secara tidak langsung akan mengembangkan potensi diri mereka.

2. Meningkatkan ilmu pengetahuan
Pepatah melalui ada menyatakan “ kalau tak kenal maka tak cinta”. Pepatah tersebut membawa maksud bahawa, seseorang itu akan cenderung atau meminati sesuatu hanya apabila dia benar-benar memahami perkara tersebut. Begitu juga dengan bidang keusahawanan, pengetahuan yang mendalam amat perlu untuk memastikan seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi. Masalah tidak mempunyai pengetahuan yang cukup merupakan masalah yang agak membimbangkan dalam kalangan usahawan Muslim. Pengetahuan yang dangkal menyebabkan usahawan Muslim tidak dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Mereka tidak dapat mengurus dengan baik akibat tidak mempunyai pengetahuan pengurusan yang baik.
Oleh yang demikian, budaya menuntut ilmu ini perlu dihayati oleh semua pihak, terutamanya golongan  usahawan. Ini memastikan bahawa golongan usahawan muslim merupakan golongan yang disegani dalam bidang ilmu pengetahuan di samping mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi. Pendekatan pendidikan ini juga harus ditekankan oleh pihak-pihak berwajib dalam mendidik masyarakat. Kursus-kursus dan seminar secara formal mahupun tidak formal perlu diperbanyakkan bagi  memastikan budaya ini dapat dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat.

3. Contoh yang baik oleh usahawan
Peranan membudayakan masyarakat dengan keusahawanan perlulah ditunjangi oleh usahawan sendiri. Usahawan perlu menunjukkan contoh yang baik dan menjadi rolemodel kepada masyarakat sekeliling. Persepsi buruk terhadap mereka perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Usahawan perlu mencontohi para sahabat Rasul yang sentiasa menjadi penyokong kuat terhadap perkembangan Islam. Para usahawan muslim haruslah  beriltizam untuk sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam keusahawanan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. Sifat-sifat sabar, ikhlas, mesra dan sebagainya harus ditonjolkan dalam perniagaan di samping menawarkan produk-produk yang berkualiti. Di samping itu usahawan juga harus memenuhi obligasi mereka terhadap masyarakat dengan bersedekah, menderma dan menunaikan zakat.Usahawan juga perlu mendekatkan diri dengan masyarakat dan memainkan peranan yang lebih aktif.

4. Sokongan berterusan dari pihak kerajaan
Kerajaan haruslah  memainkan peranan yang penting dalam menerapkan budaya keusahawanan dalam masyarakat. Pelbagai usaha dan dasar telah dirangka bagi mencapai objektif tersebut. Melalui Dasar ekonomi Baru kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah dalam  meningkatkan pegangan orang Melayu dalam ekonomi. Selepas Dasar Ekonomi Baru, kerajaan tetap meneruskan usaha murni ini dengan mewujudkan Dasar Pembangunan Negara. Penyertaan masyarakat Melayu dalam bidang keusahawanan diberikan dorongan dan bimbingan padu dari pelbagai sudut. Kerajaan telah mewujudkan pelbagai agensi untuk menyokong usaha-usaha ini. Antaranya adalah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, MARA, MARDI, PERNAS, MIDA dan banyak lagi badan-badan lain. Agensi dan badan-badan ini dapat membantu usahawan dari segi kewangan, pemasaran, kemahiran teknologi dan pelbagai aspek lain.
Melalui dasar-dasar tersebut kerajaan secara langsung dan tidak langsung telah cuba untuk menerapkan budaya keusahawanan kepada seluruh Masyarakat. Program yang dirangka oleh agensi dan kementerian terbabit bukan sahaja meliputi individu yang berkecimpung dalam perniagaan malah  meliputi pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kesedaran  dan motivasi perniagaan juga diberikan kepada golongan-golongan tertentu seperti ibu tunggal dan masyarakat di bawah kategori miskin. Program-program seperti ini sebenarnya memberikan gambaran kepada masyarakat betapa pentingnya keusahawanan dan perlunya mereka menghayati budaya dan nilai-nilai dalam keusahawanan tersebut.



1 comment:

  1. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami boleh juga membeli anda rumah anda pilihan dalam mana-mana anda pilihan lokasi.

    ReplyDelete